BACA PULA : Cerpen R Hamzah Dua : SEORANG SENIMAN DAN SEBUAH KAMAR SEPI
PUISI BUAT SAHABAT
Oleh R Hamzah Dua
Sahabat
Jangan kau hiris kulit bangsamu
Dengan belati amarah berbaur dendam kesumat
Kelak kau juga akan berasa pedih dek luka itu
Sahabat
Jangan kau noda kesucian bangsamu
Dengan rakus emosi berbaur benci terlampau
Kelak kau juga akan terpalit calarnya maruah
Sahabat
Jangan kau robek benteng perpaduan bangsamu
Yang berkurun dibina kukuh sepanjang tebing harmonis
Kelak kau juga akan kehilangan peta sejarah watan.
Sahabat
Kembalilah ke pohon sedarmu
Kembalilah ke pangkal insafmu
Hanya Dia Yang Maha Mengetahui siapa kita di sisi-Nya.
Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
3 – 4 Mei 2012.
PUISI AKHIR APRIL
Oleh R. Hamzah Dua
Jambangan puisi ini
Yang bisa aku kalungkan
Di tugu sore
Saat kau akan berangkat pergi
Meninggalkan seribu riwayat
Di buku waktu.
Nilai, Negeri Sembilan
30 April 2012.
HAMZAH DUA, nama sebenar Hamzah bin Dua. Juga pernah menggunakan nama pena Asmara Kirana WS, Teruna Desa, Anak Rimba, RHD dan Dzah Amyzah. Dilahirkan di Weston, Beaufort, Sabah-Malaysia. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Sabah. Berhijrah ke Semenanjung Malaysia pada tahun 1997 dan kini menetap di Taman Nilai Perdana, Nilai, Negeri Sembilan. Mula menulis pada awal tahun 1971 semasa masih belajar di Sekolah Menengah Kerajaan Weston, Beaufort. Menghasilkan pelbagai genre sastera, tersiar di pelbagai akhbar dan majalah tempatan di tanah air, juga mendapat tempat di majalah hiburan di Singapura (tahun 1970-an) dan akhbar serta radio di Brunei Darussalam.
Lebih 20 buah novel kanak-kanak, remaja dan dewasa, 10 buah kumpulan cerpen perseorangan, tiga buah kumpulan puisi perseorangan dan sebuah kumpulan drama pentas telah diterbitkan oleh pelbagai penerbitan. Banyak puisi dan cerpennya yang lain turut termuat dalam pelbagai antologi bersama yang diselenggarakannya sendiri dan diselenggarakan oleh penulis-penulis lain.
Antara novel yang telah diterbitkan:
- Gelombang dan Pantai di Tanjung Aru, Penerbitan Tra-Tra, Petaling Jaya, 1982. Novel pertama.
- Langit Semakin Cerah, Heinemann Asia, Petaling Jaya, 1984.
- Warna-Warna Senja, Tempo Publishing, Petaling Jaya, 1991.
- Anak Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1992. Diulang cetak tahun 1997.
- Seindah Rama-Rama, Marwilis Publisher, Shah Alam, 1992.
- Pahlawan Kota Padas, Eastview Publications, Petaling Jaya, 1994.
- Misteri Rumah Tua di Kundasang, Edusystem, Kuala Lumpur, 1995.
- Nurul Idayu, Creative Interprise, Kuala Lumpur, 1996.
- Sisa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996.
- Keruh di Ulu Kimanis, Utusan Publications & Distributors, Kuala Lumpur, 1996.
- Misteri Kuburan Lama, Utusan Publications & Distributors, Kuala Lumpur,n1996.
- Meredah Denai Cinta, Rhythm Pubnlishing, Pulau Pinang, 2001.
- Merenda Harapan, Oscar Book Internatonal, Petaling Jaya, 2001.
- Tautan Kasih, RHD Publishing, Sepang, 2001.
- Biar Kubebat Luka Ini, RHD Publishing, Nilai, 2002.
- Tragedi Lembah Danum, Cerdik Publication, Shah Alam, 2003.
- Jejak Warisan, Cerdik Publication, Shah Alam, 2003.
- Senja di Pusara, RHD Enterprise, Nilai, 2006.
- Kasih Tak Berganti, MCT Resources, Melaka, 2007.
- Titis-Titis Kasih, MCT Resources, Melaka, 2008.
- Maafkan Aku Sayang, MCT Resources, Melaka, 2008.
- Demi Cinta Ini, MCT Resources, Melaka, 2009.
- Meredah Dugaan, Media Ink Publishing, Melaka, 2013.
Kumpulan cerpen perseorangan:
- Oh! Munirah Sayang, Penerbitan Knight, Kuala Lumpur, 1980.
- Teratai Layu di Pantai, Penerbitan Pena, Kuala Lumpur, 1988.
- Lembah Kinbalu, Oscar Book Internationl, Petaling Jaya, 1991.
- Hujan dan Air Mata, Tempo Publishing, Petaling Jaya, 1991.
- Bisikan Rindu, RHD Publishing, Sepang, 2001.
- Pelabuhan Terakhir, Cerdik Publication, Shah Alam, 2008.
- Bisikan Cinta, MCT Resources, Melaka, 2009.
- Cahaya Keinsafan, Media Ink Publishing, Melaka, 2011.
- Mimi Asmida, Media Ink Publishing, Melaka, 2011.
- Jauh di Rantau, Media Ink Publishing, Melaka, 2011.
Kumpulan Puisi perseorangan:
- Meniti Cahaya, Media Ink Publishing, Melaka, 2010.
- Ladang Kehidupan, Media Ink Publishing, Melaka, 2010.
- Nyanyian Anak Desa, Media Ink Publishing, Melaka, 2010.
Kumpulan drama pentas perseorangan:
- Pintu & Sisa, RHD Publishing, Nilai, 2003.
Banyak memenangi sayembara puisi, cerpen, skrip drama pentas dan novel kanak-kanak; juga Hadiah Sastera Sabah dalam genre cerpen (tahun 1988/89, 1990/91. 1992/93), novel remaja Anak Malaysia (DBP, 1992) dan Tragedi Lembah Danum (Cerdik Publications, 2003), puisi (tahun 1994/95, 1998/99) dan esei kritikan (tahun 1996/97).
Di peringkat awal, banyak melukis komik di akhbar-akhbar terbitan di Sabah, terutama akhbar Harian Ekspres selain menyediakan ilustrasi cerpen untuk beberapa akhbar terbitan di Sabah: Harian Ekspres, Sabah Times, Utusan Borneo, Borneo Mail dan Mingguan Waktu seketika tahun 1982 – 1997.
Di samping aktif berkarya dalam bidang sastera dan seni lukis, juga minat berlakon drama pentas, drama radio dan pernah berlakon drama TV. Pada tahun 1974, semasa masih belajar di sekolah menengah di daerahnya, pernah muncul sebagai Pengarah Terbaik dalam pertandingan drama pentas di peringkat daerah pedalaman bawah, juga sekaligus menjadi penulis skrip dan pelakon utama drama pentas yang berjudul Hati Hitam Hanya Sepotongyang menjadi juara di peringkat pendalaman bawah (Beaufort/Sipitang) dan tempat kedua di peringkat Pedalaman Atas (Keningau). Sekitar tahun 1992 – 1996, banyak berlakon drama radio di RTM Sabah, di samping salah seorang panel penulis skrip untuk terbitan RTM Sabah.
Pernah menjadi pengulas/pengkritik secara berterusan di akhbar Borneo Mail dan Utusan Borneo, sekitar tahun 1991 – 1997.
Dalam kegiatan berpersatuan, pernah menjadi ahli Gabungan Penulis Sedar Sabah (GAPURA), Ahli Jawatankuasa Badan Bahasa Sabah (BAHASA) juga pernah
menjadi Setiausaha Dua badan tersebut di peringkat pusat, manakala di peringkat cawangan menjadi Setiausaha. Selepas itu menjadi Ketua Satu Angkatan Sasterawan
Nasional Sabah (SASTERWAN) sekitar tahun 1988 sehingga ditukarkan tempat kerja ke Subang pada tahun 1977. SASTERAWAN ditubuhkan atas daya usahanya bersama rakan-rakan penulis seperti Johnathan Kandok, Juri Durabi dan lain-lainnya.
Semasa masih aktif berpersatuan di Sabah, pernah beberapa kali dijemput memberikan ceramah dan berkongsi pengalaman dalam beberapa kursus/bengkel penulisan kreatif.
Dalam bidang kerjaya, sebelum berkhidmat di jabatan kerajaan persekutuan, pernah bertugas sebagai Penolong Editor dan Pengelola Ruangan Sastera di akhbar mingguan Suara Sabah dan wartawan sambilan di akhbar Kinabalu Sabah Times. Setelah bersara (pencen) dari jawatannya, sekarang menjadi penulis bebas sepenuh masa juga part-time editor (luar). / Akhmad Zailani
BACA JUGA :
Mengenal Riatry Lestari , Eks Penyiar Pro 2 RRI Samarinda Melalui Cerpennya
NORGADIS LABUAN, SASTRAWATI MALAYSIA ASAL LABUAN
Mengenal Sastrawan dan Karyanya : Mahmud Jauhari Ali, Lelaki Lebah dari Banjar
Darkuni dan Salah Satu Cerpennya ; Tamasya Batin
Inilah cerpen “Tapak Tangan” karya Mussidi cerpenis Brunei Darussalam
MANUSIA YANG MELAHIRKAN ANJING cerpen Agni Kasmaranwati
TAJUDDIN Noor Ganie (INDONESIA – Kalimantan Selatan
Cerpen Akhmad Zailani : BULAN LUKA
cerpen Habolhasan Asyari : TULAH