SEKALI lagi isu pendatang asing diperkatakan dan kali ini berkait rapat dengan soal monopoli pekerjaan yang sepatutnya kita lakukan tetapi mereka pula menguasainya.
Di atas kertas kita hanya mengetahui bahawa kemasukan pekerja asing di negara ini hanya untuk bekerja dalam sektor pembinaan, perladangan, perkhidmatan dan pembantu rumah tetapi lama-kelamaan pekerjaan mereka meluas sehingga ke bidang perniagaan. Malah ada yang berjaya menjadi tauke dalam bidang itu.
Dalam perniagaan, kita dapat lihat bagaimana pada peringkat awalnya mereka hanya menjadi pembantu kedai tetapi lama-kelamaan menjadi tauke. Mula-mula mereka menjual barang-barang mainan kanak-kanak di pasar-pasar malam tetapi lama-kelamaan mereka memiliki gerai sendiri dengan membuka kedai runcit, menjual buah-buahan dan sebagainya. Maka tidak hairanlah ada antara mereka yang berupaya pula mengusahakan bengkel membaiki kereta dan motosikal.
Di negeri-negeri maju terutamanya Selangor, banyak kedai runcit dikendalikan oleh warga asing. Di kawasan-kawasan kampungpun, perniagaan mereka berjalan lancar. Malah, ada kedai-kedai yang mereka sewa jaraknya tidak jauh antara satu dengan lain.
Orang tempatan menyewa tapak atau kedai, kemudian hanya mengambil wang sewa sebulan sekali. Di pinggir-pinggir pekan besar di Selangor sekarang kita dapat lihat warga asing sudah ‘menghimpit’ perniagaan orang tempatan sehingga ada dalam kalangan mereka berkata bahawa orang tempatan ‘sayang’ orang asing. Lama-kelamaan orang tempatan menutup perniagaan kemudian menyewanya kepada orang asing.
Rangkaian perniagaan warga asing menjadikan mereka semakin maju, ada persatuan dan mendapat bekalan barang dengan harga murah sehingga mampu menandingi perniagaan orang tempatan. Orang kita bukan tidak pandai berniaga tetapi sikap mahu cepat dapat wang menjadikan mereka sanggup menyewa premis perniagaan. Tanah-tanah kosong di depan rumah pula disewakan kepada orang asing berniaga.
Oleh itu, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa kita terlalu banyak membuka peluang kepada orang asing mencari rezeki di negara ini sedangkan kita boleh melakukannya sendiri. Agak malang kerana ada dalam kalangan orang asing itu memasuki Malaysia secara haram dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Antara awal Januari sehingga 26 Februari tahun ini sahaja, Jabatan Imigresen sudah menahan 8,903 PATI atas pelbagai kesalahan termasuklah salah guna permit pekerjaan. Antara angka yang besar itu, lebih 1,000 kesalahan berkait perniagaan seperti kedai makan, premis perniagaan dan pasar.
Dalam soal ini, sukar untuk membanteras aktiviti perniagaan dalam kalangan orang asing jika kita sendiri membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada mereka berbuat demikian. Orang kita dilihat terlalu berlembut dan bermurah hati sehingga landskap sesetengah tempat di negara ini tidak lagi kelihatan seperti berada di Malaysia.
Sesetengah kawasan kita bagaikan berada di negara orang. Kelilingnya penuh dengan warga asing termasuk peniaga-peniaga di situ bukan orang kita. Barang-barang keperluan pun bukan barang dari negara ini. Jika kita ke kedai-kedai runcit orang Aceh misalnya, kita akan dapat melihat lambakan makanan ringan yang diusahakan sendiri oleh orang Indonesia.
Justeru, usaha untuk membanteras peniaga asing yang berniaga secara tidak sah di negara ini mestilah dilakukan secara berterusan oleh pihak imigresen, pihak berkuasa tempatan termasuk orang ramai. Pada masa sama, jangan buka terlalu banyak peluang untuk mereka berniaga.
Orang tempatan mestilah menyedari peluang perniagaan di sini sangat luas daripada menjual makanan, kedai runcit, pakaian dan sebagainya. Warga tempatan mestilah merebut peluang ini dan janganlah tidak yakin terhadap kerja-kerja yang boleh pula dilakukan oleh warga asing dengan jayanya.
sk-M-01/sumber : utusan.com,my/02 Mac 2018 12:00 PM